Persimpangan bertingkat Kuang rahmat buat penduduk
12 Jan 2017 | Utusan Online
Pembukaan Persimpangan Bertingkat Kuang Sistem bakal memacu aktiviti dan pertumbuhan ekonomi di kawasan berhampiran. UTUSAN/GHAZALI BASRI Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/persimpangan-bertingkat-kuang-rahmat-buat-penduduk-1.430584#ixzz5OteSLVv0 © Utusan Melayu (M) Bhd

KUALA LUMPUR 11 Jan. – Pembukaan Persimpangan Bertingkat Kuang Sistem di sini dianggap rahmat kepada penduduk sekitar walaupun pembinaannya selepas hampir enam tahun Lebuh raya Kuala Lumpur-Kuala Se­langor (Latar) dibuka.

Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar Kampung Sungai Serai, Kuang dan Kundang yang terletak berdekatan persimpangan tersebut, rata-rata penduduk bersyukur dengan kewujudan laluan baharu itu yang sekali gus memberi manfaat kepada mereka.

Seorang peniaga runcit, Muhamad Arif Ariffin, 46, berkata, persimpangan baharu itu menjimatkan masa perjalanan mereka ke destinasi masing-masing khususnya ibu kota.

“Jika sebelum ini kami terpaksa menghabiskan masa antara 45 minit hingga satu jam perjalanan dari Kampung Su­ngai Serai ke Rawang, kini hanya kira-kira 15 minit sahaja.

“Saya memang setiap hari berulang-alik ke kawasan tersebut kerana menjalankan perniagaan runcit di Kampung Sungai Serai,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.

Semalam, Persimpangan Bertingkat Kuang Sistem yang dirasmikan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan dibuka kepada orang ramai.

Pembukaannya bukan sahaja memberi manfaat kepada kira-kira 230,000 penduduk setempat, malah bakal memacu akti­viti dan pertumbuhan eko­nomi di kawasan berkenaan.

Jalan keluar-masuk yang terletak di persimpangan Latar, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) itu menyediakan laluan sambungan terus ke tapak pembangunan Gamuda Gardens iaitu kawasan pemba­ngunan bercampur seluas 327 hektar.

Persimpangan yang melalui Plaza Tol Rawang Selatan PLUS, menelan kos kira-kira RM30 juta itu mampu menjimatkan kira-kira 15 minit atau 10 kilometer.

Jambatan bertingkat menggunakan konsep teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS) itu mula dibina pada tahun 2012 dan siap sepenuhnya pada 5 Januari lalu.

Seorang penduduk, Anuar Mohd. Hashim, 53, pula berkata, sebelum ini mereka hanya menggunakan laluan biasa untuk perjalanan ke ibu kota yang mengambil masa lebih satu jam.

“Pembukaannya memang sangat dinantikan. Manfaatnya bukan sahaja kepada kami, tetapi juga pengguna Lebuhraya Latar dan GCE untuk ke destinasi masing-masing,” katanya.

Pesara, Ali Manan, 62, berkata, pertumbuhan ekonomi dan pembinaan projek-projek perumahan semakin rancak sekali gus menjadikan kawasan itu semakin dikenali.