Dambaan hijau di Gamuda Cove
22 Sep 2018 | Utusan

MEMILIKI sebuah residensi di kawasan yang dikelilingi alam semula jadi dan dalam masa sama dilengkapi segala kemudahan selesa, pastinya menjadi impian kita.

Tentu sahaja tinggal di kawasan ibu kota dan bandar besar tidak menjanjikan kawasan tempat tinggal yang memiliki ciri-ciri idaman seperti itu.

Namun, Gamuda Land tidak menjadikan alasan suasana kehidupan bandar sebagai alasan mengapa seseorang itu tidak boleh memiliki kediaman yang diimpikan.

Menjadikan ‘Santuari alam semula jadi, bandar masa depan’ sebagai slogan, projek terbaharu Gamuda Land bakal terpahat di dalam senarai sebagai residensi yang penuh dengan ketenangan jiwa dan minda pemiliknya nanti.

Tiga fasa pertama bandar Gamuda Cove yang bakal dilancarkan bermula pertengahan tahun hadapan menjanjikan sesuatu yang mengujakan.

“Kawasan projek perumahan ini akan dilengkapi dengan taman tema yang pasti akan menarik pembeli. Projek ini dijangka siap pada 2022.

“Persekitaran yang menarik, digabungkan dengan lokasi yang baik, memastikan nilai yang mapan, terutamanya daripada perspektif pelaburan,” kata Pengarah Projek Gamuda Land, Aw Sei Cheh ketika sesi taklimat bersama media di Menara Gamuda, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Berkeluasan 619 hektar, Gamuda Cove akan dibangunkan di sebuah kawasan yang dibeli pemaju di selatan Lembah Klang berhampiran Lebuh raya ELITE dan bertentangan dengan Cyberjaya.

Menurut Sei Cheh, Gamuda Cove menjadi projek hartanah yang memfokuskan kepada pembangunan mapan, sistem perhubungan yang baik dan kehidupan berasaskan kehijauan dengan dinamika gaya urban terkini.

Kawasan sekitarnya pula menampilkan alam semula jadi yang dikelilingi kehijauan yang tiada batas, berdekatan dengan Hutan Simpan Kuala Langat dan Paya Indah Wetland.

“Gamuda Cove mencerminkan prinsip kami dalam membangunkan sesebuah bandar iaitu mendengar apa yang alam mahu katakan kepada kita. Secara dasarnya, hormat kepada alam semula jadi,” katanya.

Sekitar 24 hektar di dalam Gamuda Cove bakal menjadi pusat yang menyediakan kawasan bagi penduduk untuk menikmati aktiviti alam berasaskan air memandangkan terdapat tasik dan kawasan paya mengelilingi bandar itu kelak.

“Ketika kami berusaha mendapatkan kawasan ini, kami melihat apa yang sudah tersedia di sini dan merancang pelan pembangunannya berdasarkan alam yang sudah terbina.

“Kami melihat dan mengkaji alam sekitar untuk memahami bagaimana ekosistemnya berfungsi, merekodkan flora dan fauna yang kaya dengan kepelbagaian,” katanya.

Tambah Sei Cheh, berdasarkan fakta itu, Gamuda Land membuat keputusan untuk mencipta kawasan tasik yang indah dengan dipenuhi flora dan fauna asal di tapak asal kediaman tersebut.

Selain faktor kehijauan yang subur di sekitarnya, Gamuda Cove turut menampilkan pelbagai lagi kemudahan canggih.

Ini termasuklah tram yang akan berkhidmat di sekitar Pusat Perniagaan Gamuda Cove, sistem trafik dan parkir canggih, infrastuktur digital seperti sambungan internet 5G di semua kediaman yang dibina menggunakan sistem binaan industri (IBS).

Menurut Sei Cheh, IBS memastikan setiap kediaman dapat disiapkan dengan lebih cepat dan lebih berkualiti kerana setiap produknya diuji dan mendapat kelulusan SIRIM, selain mempunyai struktur binaan yang kukuh dan ketahanan tinggi.

Lebih mengujakan apabila projek terbaharu Gamuda Land ini bakal dilengkapi sebuah taman dengan tiga zon rekreasi seluas 20 hektar.

Tiga taman itu ialah Adventure Park, Sports Park dan Hangout Village yang ditempatkan di Gamuda Cove Discovery Park yang akan menjadi destinasi tarikan pengunjung tempatan dan luar negara.

Tentunya, Gamuda Cove menjadi projek pilihan terbaharu yang dinantikan orang ramai terutama mereka yang sedang berkira-kira untuk mencari kediaman idaman yang dikelilingi kehijauan, namun lengkap dengan kehidupan bandar yang serba lengkap dan moden.