Gamuda Cove Experience Gallery kini dibuka
23 Sep 2018 | Berita Harian

SUBANG JAYA: Gamuda Land, cabang hartanah Gamuda Bhd hari ini membuka secara rasmi “Gamuda Cove Experience Gallery” bagi membolehkan orang ramai menyaksikan secara lebih dekat pelan induk projek perbandaran baharunya, Gamuda Cove.

Ketua Pegawai Eksekutif Gamuda Land, Ngan Chee Meng, berkata projek Gamuda Cove dengan nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM20 bilion itu terletak bersebelahan Paya Indah Wetlands dan hutan simpan Kuala Langat.

Projek perbandaran itu merangkumi pembinaan rumah kediaman dan komersial dan bakal menjadi penanda aras baharu bagi projek pembangunan di sekitar Lembah Klang.

Mengulas mengenai projek itu, Chee Meng berkata, pelan induk projek perbandaran itu memberi tumpuan terhadap kelestarian mandiri, jaringan sambungan yang baik dan kehijauan alam semula jadi dalam suasa bandar yang dinamik.

Beliau berkata, Gamuda Cove akan dibahagikan kepada beberapa daerah merangkumi kawasan kediaman; daerah perniagaan pusat, riadah dan hiburan; koridor pengetahuan dan maklumat; oasis kesihatan; taman pusat 24 hektar dan perkampungan seni, budaya dan pelancongan.

“Pembukaan Gamuda Cove Experience Gallery di Taipan USJ ini bertujuan memudahkan pelanggan untuk singgah bagi melihat secara lebih dekat pelan induk projek ini.

“Setakat ini, sambutan yang diterima terhadap projek ini amat memberangsangkan daripada pembeli rumah,” katanya pada pembukaan rasmi galeri itu di sini, hari ini.

Pembukaan galeri itu disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan Gamuda, Mohammed Rashdan Mohd Yusof.

Hadir sama ialah Pengarah Eksekutif Gamuda Land, Datuk Abdul Sahak Safi dan Pengarah Projek Gamuda Land, Aw Sei Cheh.

Antara ciri tarikan utama Gamuda Cove ialah pembinaan Central Park seluas 24 hektar yang akan dikelilingi oleh tasik, sesuai untuk dijadikan tempat berkumpul, beriadah, berkelah dan bermain.

Projek perbandaran itu juga akan mempunyai “Discovery Park” seluas 20 hektar yang terbahagi kepada tiga zon rekreasi iaitu “The Adventure Park” bagi aktiviti sukan ekstrim; The Sport Park yang menyediakan kemudahan sukan bertaraf antarabangsa dan “Hangout Village” untuk komuniti bersosial dan menikmati makanan dan minuman.

Projek perbandaran itu juga mempunyai elemen pintar merangkumi pengangkutan hijau seperti tram dalam Daerah Perniagaan Pusat Gamuda Cove; sistem trafik dan letak kereta pintar dan infrastruktur digital terkini seperti sambungan 5G.

Fasa kediaman pertama Gamuda Cove dijangka dilancarkan November ini dan ditawarkan dalam empat jenis rumah berangkai dengan harga indikatif bermula RM680,000.