Akademi AI Gamuda lahir jurutera data bidang pembinaan
Petaling Jaya: Gamuda Bhd, syarikat pembinaan terkemuka di rantau Asia, menjadi peneraju dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dengan pelancaran Akademi AI Gamuda minggu lalu.
Syarikat itu juga menjadi syarikat pembinaan pertama di Malaysia yang menceburi bidang AI dengan terkini ia bekerjasama dengan Google Cloud bagi melahirkan lebih ramai bakat baharu bagi jurutera data dalam bidang pembinaan.
Mungkin ada yang tertanya-tanya mengapa sebuah syarikat pembinaan yang biasanya dikaitkan dengan kerja 3D (kotor, bahaya dan berhabuk) mahu terbabit dengan AI.
Berkongsi jawapannya, Ketua Pegawai Digital Kumpulan Gamuda, John Lim Ji Xiong, berkata Gamuda, yang terkenal dalam industri pembinaan, juga melihat AI sebagai elemen penting dalam meningkatkan kecekapan tenaga kerja di sektor ini.
Katanya, walaupun pembinaan sering dikaitkan dengan persekitaran yang kotor dan berbahaya, Gamuda menumpukan perhatian kepada digital dan data.
“AI membantu dalam pelbagai aspek, ia bukan setakat hanya tertumpu kepada penyesuaian rumah dan pengurangan penggunaan kertas, tetapi matlamat bersama kami adalah ke arah melaksanakan alatan, metodologi dan penyelesaian digital yang canggih.
“Gamuda telah mencapai peningkatan dalam kecekapan, ketepatan dan ketelitian, penjimatan kos, serta hasil projek yang lebih baik hasil daripada penggunaan teknologi digital dan AI dalam operasinya.
“Kami bukanlah asing dalam bidang inovasi digital. Innovation Hub Gamuda dimulakan dua tahun lalu, dan syarikat ini telah lama menerapkan teknologi digital. Dengan kerjasama Google Cloud, Gamuda terus memajukan inovasi digitalnya yang kini memfokuskan kepada AI dan pengurusan data,” katanya dalam temu bual selepas pelancaran Akademi AI Gamuda di sini, baru-baru ini.
Pelancaran akademi itu disempurnakan oleh Menteri Digital, Gobind Singh Deo.
Akademi AI Gamuda menawarkan kurikulum komprehensif selama tiga bulan yang ditaja sepenuhnya oleh syarikat pembinaan itu yang memberi tumpuan kepada pembangunan AI penuh, termasuk teknologi Frontend, Backend, DevOps dan alat terkini GenAI.
Program ini terbuka kepada pelajar, graduan, profesional industri dan pengasas syarikat pemula, menyediakan pengalaman praktikal melalui ceramah, makmal, Google Cloud Skills Boost, dan projek capstone.
Peserta juga mempunyai pilihan untuk melanjutkan latihan mereka dengan latihan amali selama tiga bulan di Gamuda atau organisasi rakan kongsi mereka.
Akademi ini adalah satu lagi kerjasama dengan Google Cloud yang memanfaatkan kemampuan data dan AI untuk membangunkan serta melaksanakan penyelesaian yang boleh diskala, diperkukuhkan oleh kes penggunaan canggih Gamuda, termasuk mesin pengorek terowong autonomi yang memenangi anugerah dan Pemodelan Maklumat Bangunan Realiti Terimbuh (BIMAR).
Sementara itu pelajar kumpulan pertama akademi itu, Safea Ramli, 24, berkata beliau mempelajari banyak ilmu mengenai teknologi AI di akademi itu.
Gadis berasal dari Ipoh, Perak ini berkata, kelas yang diadakan amat intensif dan mengajar dari kemahiran peribadi sehingga ke kemahiran teknikal.
“Yang menarik mengenai akademi ini adalah ia percuma, pelajar hanya perlu membawa laptop sendiri untuk belajar,” katanya yang berhasrat untuk melakukan latihan amali di Gamuda sejurus selesai menamatkan pengajian di akademi itu November ini.