Discovery Park hab pelancongan selatan Lembah Klang
Discovery Park, sebahagian daripada projek Gamuda Cove akan menjadi destinasi tumpuan utama pelancong tempatan dan antarabangsa apabila ia mula dibuka pada pertengahan tahun depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Gamuda Land, Ngan Chee Meng berkata, projek seluas 20.2 hektar yang akan terbahagi kepada tiga zon rekreasi iaitu Adventure Park, sukan ekstrim; Sports Park kemudahan sukan bertaraf antarabangsa, Hangout Village dengan suasana hab sosial yang unik.
Beliau berkata, sebagai pemaju perbandaran pihaknya mahu mempersiapkan bandar yang dapat kekal relevan untuk generasi masa kini dan akan datang.
“Untuk membina bandar yang berkualiti, apa yang terbaik adalah untuk meletakkan asas kukuh yang bukan sahaja kepada hartanah kediaman, tetapi perkhidmatan, ketersambungan, infrastruktur dan landskap.
“Dengan kepelbagaian dan keunikan tawaran yang disediakan melalui Discovery Park dalam projek berprestij Gamuda Cove ini, ia dapat menghasilkan suasana perbandaran masa depan yang luar biasa.
“Apabila taman ini mula beroperasi pada tahun depan, kami yakin Discovery Park akan menjadi hab pelancongan dan rekreasi utama di selatan Lembah Klang,” katanya pada majlis menandatangani enam perjanjian kerjasama dengan rakan kerjasama di sini, hari ini.
Antaranya Aerophile, AKA Balloon, Blastacars, Invade, Kitchen Mafia dan Caravan Serai yang akan menjadi antara pelengkap bagi taman dan perbandaran oleh Gamuda Land itu.
Discovery Park yang dijadual dibuka pada 2019 akan beroperasi secara berperingkat dengan ‘Adventure Park’ dan ‘Hangout Village’ serta dibuka sepenuhnya pada 2020.
Seterusnya, taman tema air dijangka akan mula dibuka kepada orang ramai pada 2022 sekali gus melengkapkan taman di bawah projek berprestij itu.
Chee Meng berkata, selain kehadiran enam rakan kongsi itu, Discovery Park juga akan menerima kehadiran lebih banyak peruncit pada masa akan datang.
“Buat masa ini, pihak syarikat masih lagi berbincang dengan beberapa peruncit yang akan menjadi rakan kongsi seterusnya mempelbagaikan tawaran di taman ini,” katanya.
Gamuda Cove adalah projek perbandaran yang terletak di Selangor dan bersebelahan dengan Paya Indah Wetland dan hutan simpan utara Kuala Langat dan Cyberjaya.