Selaras kategori
Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) akan diletakkan di bawah tanggungjawab Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Timbalan Menterinya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, ia sejajar dengan langkah yang sedang diambil pihaknya ketika ini untuk meletakkan semua bahagian perumahan di bawah kementerian itu.
“Langkah ini dilakukan kerana kita nak merasionalisasikan kategori perumahan. Ini kerana terdapat terlalu banyak kategori berkaitan sehinggakan orang ramai keliru, malah saya sendiri turut keliru.
“Selain itu, ia juga untuk mengurangkan kos pengurusan dan meningkatkan kecekapan. Jadi, tidak akan berlaku banyak pertindihan peranan dan tugas oleh jentera kerajaan dalam menyediakan rumah mampu milik untuk rakyat,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan dan merasmikan pelancaran Rumah Selangorku (RSKU) Pangsapuri Gapura Bayu di sini, semalam.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan Gamuda Bhd Mohammed Rashdan Mohd Yusof.
Penubuhan MPMMN diumumkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sewaktu membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 di Dewan Rakyat, pada Khamis lalu bagi menyelaras pengurusan perumahan mampu milik awam.
Sementara itu, Pangsapuri Gapura Bayu adalah projek perumahan RSKU pertama yang dibina sepenuhnya menggunakan sistem binaan berindustri (IBS) digital.
Projek yang terletak di Jade Hills, Kajang dan dibangunkan oleh Gamuda Land itu dibina di atas tanah seluas 4.45 hektar dan menawarkan sebanyak 714 unit kediaman berkeluasan dari 700 kaki persegi hingga 1,000 kaki persegi membabitkan harga di antara RM42,000 dan RM250,000 seunit.
Raja Kamarul Bahrin berkata, pihaknya memuji penggunaan sistem IBS digital dalam projek pembinaan Gapura Bayu itu apabila berjaya disiapkan 12 bulan lebih awal daripada projek strata biasa yang menggunakan kaedah pembinaan konvensional.
“Hasilnya, sekurang-kurangnya 500 individu muda bersama keluarga mereka akan mendapat rumah baharu mereka siap lebih awal.
“Inilah contoh tahap kecekapan dan komitmen yang kementerian harapkan daripada pemaju swasta. Projek Pangsapuri Gapura Bayu ini sememangnya menepati kerangka kemampanan Dasar Perumahan Negara,” katanya.