Masa depan rumah bertanah dengan Gamuda IBS
TANGGAPAN yang mengaitkan penggunaan sistem binaan berindustri (IBS) di dalam projek pembangunan sebagai tidak berkualiti bukan sahaja tidak benar, malah menimbulkan salah faham terhadap teknologi terbabit.
Begitu juga dengan persepsi mengatakan kediaman yang dibina menggunakan teknologi IBS menghasilkan reka bentuk yang tidak menarik dan tidak fleksibel.
Semua tanggapan ini perlu diperbetulkan kerana sebenarnya, IBS mendatangkan manfaat yang banyak kepada industri pembinaan yang mana akhirnya menguntungkan pembeli.
Sebagai contoh, teknologi digital Gamuda IBS membolehkan pemaju menawarkan pelbagai reka bentuk rumah berbeza kepada pembeli sama ada untuk kediaman teres, banglo atau apartmen.
Dengan kaedah pembinaan yang sudah beralih kepada automasi dengan penggunaan alat reka bentuk digital dan kaedah robotik, pembangunan rumah IBS dijamin menawarkan kualiti terbaik kerana ia dibina di dalam kilang yang terkawal persekitarannya, kurang penggunaan tenaga kerja manual dan mengambil masa yang lebih singkat untuk dibina.
Tambahan lagi biarpun konsep IBS secara relatifnya masih baharu untuk pembeli kediaman tempatan terutama hartanah mewah, negara seperti Scandinavia, Jerman, Singapura, malah Thailand sudah pun menggunapakai sistem pembinaan IBS sejak berdekad lalu.
Pengurus Besar Gamuda IBS, Tan Ek Khai, berkata pemaju kini boleh menawarkan pembeli pelbagai pilihan reka bentuk rumah yang menarik dan menepati selera pembeli untuk kediaman idaman mereka.
“Era di mana rekaan tipikal rumah yang kelihatan sama dalam satu deretan barisan di dalam sebuah taman perumahan sudah berlalu.
“Sebaliknya kini adalah zaman untuk rekaan rumah yang moden, luas dengan kualiti yang tinggi, sama ada untuk rumah jenis teres, kluster, semi-d atau banglo. Ia kini boleh dilakukan sepenuhnya oleh sistem Gamuda IBS digital.
“Maksudnya, sudah tidak mustahil untuk penduduk di sebuah taman perumahan atau perbandaran memiliki sebuah rumah yang mempunyai reka bentuk, ruang dalaman dan ciri-ciri yang tersendiri dan berbeza daripada penduduk lain,” katanya yang yakin konsep sedemikian adalah masa depan untuk pembangunan hartanah di Malaysia.
Kelebihan IBS yang lain ialah ia mesra pengubahsuaian dan memudahkan perabot untuk disusun atur. Pembeli juga boleh menentukan sendiri kedudukan poin soket di tempat yang dimahukan kerana rumah IBS direka dengan teliti bagi mempunyai tiang binaan yang minimum dan memaksimumkan ruang lantai tanpa sudut yang tidak perlu.
Kata Ek Khai, pihaknya sentiasa memikirkan kesenangan pembeli untuk melakukan pengubahsuaian kediaman mereka ketika rekaan sesebuah rumah dilakukan.
“Ruang dibina secara demikian supaya jika penghuni mahu memecahkan dinding di antara dua bilik, ia boleh dilakukan kerana binaannya dirancang sedari peringkat rekaan lagi.
“Ini bermakna jika pemilik rumah mahu melakukan perubahan disebabkan keperluan keluarga atau mahukan gaya hidup yang moden, rekaannya mengizinkan penghuni kediaman berkenaan untuk melakukannya.
“Konsep itu sudah kelihatan di dalam projek perbandaran baharu Gamuda Land dan kami turut menawarkannya kepada mana-mana pemaju lain yang berminat,” katanya.
Ek Khai berkata, di Gamuda IBS iaitu kilang IBS digital pertama Malaysia, produk dibangunkan seperti permainan Lego yang mudah dipasang.
“Kepantasan dan ketepatan pembinaan adalah lebih baik dan terjamin. Ini sekali gus menjimatkan masa dan penggunaan tenaga kerja yang mana akhirnya menyumbang kepada penjimatan kos.
“Penggunaan IBS mampu menyingkatkan tempoh pembinaan sebanyak 12 bulan untuk kediaman bertanah. Sudah tentu ia berita menggembirakan buat pembeli apabila dapat mendiami kediaman mereka setahun lebih awal.
“Tempoh 12 bulan yang dijimatkan ini boleh digunakan pembeli untuk melakukan banyak perkara seperti memasang kabinet dapur, almari, membawa masuk perabot baharu dan lain-lain pengubahsuaian bagi mencantikkan ruang dalaman rumah mereka,” katanya.
Ek Khai turut menjelaskan salah faham mengenai IBS pada masa lalu yang mengatakan teknologi berkenaan hanya boleh digunakan bagi membina kediaman tinggi seperti apartmen.
Katanya, seiring dengan perkembangan industri pembinaan serta revolusi perkembangan teknologi baru yang menggunakan sistem Pemodelan Maklumat Pembinaan (BIM), tiada yang mustahil untuk dicapai dalam penggunaan IBS.
“Dalam bahasa yang lebih mudah mengenai BIM, ia adalah perisian yang mampu menjadikan reka bentuk sesebuah produk (seperti rumah) kepada pengeluaran (seperti pembinaan rumah berkenaan).
“Ini bermakna Gamuda IBS mampu membangunkan pelbagai jenis bangunan seperti kediaman bertingkat dan bertanah, pembangunan komersil, sekolah, hospital dan malah kilang,” katanya.
Kilang kedua dijangka siap Oktober
Menyedari hakikat IBS adalah masa depan pembinaan, langkah Gamuda menjadi pelopor dalam teknologi IBS dengan membangunkan kilang IBS digital pertama di Malaysia yang terletak di Sepang pada Julai 2016 adalah satu langkah yang tepat.
Tanpa membuang masa, Gamuda IBS mengorak langkah dengan pembinaan kilang kedua di Banting, Selangor sebagai persediaan memenuhi permintaan masa depan.
Kata Ek Khai, kilang yang dijangka siap pada bulan Oktober tahun ini berkeupayaan menghasilkan pelbagai produk lain seperti pod bilik mandi berkualiti tinggi yang boleh disiapkan dalam kilang sebelum dihantar dan dipasang sebagai unit lengkap di tapak pembinaan.
“Inovasi sebegini sudah tentu akan merancakkan lagi sektor pembinaan di Malaysia kerana ketika ini masalah pembeli berdepan kebocoran bilik mandi selepas berpindah masuk ke dalam rumah baharu mereka adalah satu perkara yang biasa dialami.
“Malah menjadi beban tambahan buat pembeli apabila terpaksa membaiki masalah kebocoran ini kerana selain menelan kos yang tinggi, ia juga memakan masa yang agak lama untuk dibaiki sehingga mengganggu keselesaan penghuni itu sendiri.
“Justeru pembinaan pod bilik mandi di dalam kilang menjadi langkah penyelesaian terbaik untuk mengatasi masalah sedemikian daripada terus berlaku,” katanya.
Kata Ek Khai, pod bilik mandi yang kalis air dan tahan bocor itu dibina secara berasingan dan bersendirian bagi memastikan binaannya teguh dan berkualiti tinggi.
“Sehubungan itu, masalah yang biasanya penghuni alami mengenai kebocoran bilik mandi di antara lantai tingkat dapat ditampung dan isu berkaitan bocor dan kalis air diminimumkan terutama di bangunan bertingkat.
“Kami sentiasa berfikiran ke hadapan dalam merekabentuk rumah dan menjadikan ia amalan budaya kerja di Gamuda IBS.
“Itu yang memberi nilai kepada pemaju dan pemilik rumah kerana kami sudah memikirkan terlebih dulu mengenai keperluan mereka.
“Ia kini bukan lagi mengenai keperluan untuk memadankan segala-galanya ke dalam apa yang sistem sediakan, sebaliknya sistem kami adalah cukup fleksibel untuk memenuhi keperluan kehidupan mewah dan berprestij,” katanya.