Gamuda Land, Maxis jalin usaha sama sedia rangkaian
31 Oct 2018 | Berita Harian

Pemaju hartanah, Gamuda Land dan Maxis Bhd hari ini menjalin usaha sama strategik bagi penyediaan dan penggunaan infrastruktur rangkaian dan perkhidmatan di pembangunan projek twentyfive.7 di Kota Kemuning, dekat sini.

Di bawah perjanjian itu, setiap 279 kediaman di Fasa 1A dan 1B serta 596 unit The Amber Residence di projek perbandaran itu akan dilengkapi dengan pelan fiber MaxisOne Home yang didatangkan kelajuan sehingga 300Mbps.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Maxis, Robert Nason, berkata pelan yang ditawarkan dengan akses iFlix tanpa had di rumah dan mudah alih, panggilan domestik percuma tanpa had ke semua telefon mudah alih, talian tetap dan DECT, adalah percuma untuk penghuni selama dua tahun dari masa ia diaktifkan, dengan ihsan Gamuda Land.

“Pengguna hari ini mengharapkan penyelesaian sambungan menyeluruh selaras dengan gaya hidup mereka.

“Masa depan kini memfokus kepada tawaran bersepadu, dan kami mempunyai keupayaan untuk menawarkan kedua-dua perkhidmatan tetap dan mudah alih untuk menyediakan penyelesaian menyeluruh kepada pelanggan jalur lebar kami.

“Kami akan terus melabur dalam mengakses rangkaian fiber sedia ada di Malaysia. Selain daripada sambungan, kami juga akan bekerjasama dengan Gamuda Land secara jangka panjang untuk inisiatif penciptaan bersama serta menyediakan penyelesaian yang dapat meningkatkan seluruh komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Menandatangani Perjanjian Perkhidmatan antara Gamuda Land dan Maxis, di sini, hari ini.

Projek twentyfive.7 oleh Gamuda Land adalah perbandaran pembangunan bersepadu bercampur seluas 104 hektar yang terletak di Kota Kemuning, Shah Alam, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM4.2 bilion.

Projek itu terdiri daripada kediaman pelbagai jenis yang pertama seumpamanya, pelbagai pilihan runcit di Quayside Mall dan pangsapuri servis bertingkat tinggi pertama di bandar berkenaan iaitu The Amber Residence.

Sementara itu, CEO Gamuda Land, Ngan Chee Meng, berkata syarikat itu juga bercadang untuk menawarkan perkhidmatan seumpama di projek pembangunannya yang lain dalam usaha melaksanakan inisiatif bandar pintar di Gamuda Cove dan Gamuda Gardens.

“Kami sedar sepanjang merealisasikan pelan induk dan reka bentuk seni bina, dengan melaksanakan kemudahan dan teknologi tepat yang bukan sahaja menyokong kesalinghubungan fizikal, tetapi juga sambungan maya untuk membina komuniti yang mampan.

“Sememangnya, ini termasuk menyediakan infrastruktur rangkaian yang betul terlebih dahulu untuk melengkapkan komuniti dengan Internet berkelajuan tinggi dan meningkatkan kesalinghubungan maya,” katanya.