Gamuda pembida tertinggi tanah di Singapura
18 Sep 2018 | Berita Harian

KUALA LUMPUR: Gamuda Bhd dan Evia Real Estate (7) Pte Ltd, yang bekerjasama untuk tender tanah seluas 51,411.9 meter persegi di Anchorvale Crescent di Singapura, muncul sebagai pembida tertinggi pada harga S$318.89 juta (RM963.0 juta).

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Gamuda berkata, Housing and Development Board of Singapore (HDB) mengumumkan keputusan tender sementara itu selepas tarikh tutupnya pada 14 September.

Syarikat pemaju hartanah Malaysia itu yang menyertai tender berkenaan melalui anak syarikat milik penuhnya, Gamuda (Singapore) Pte Ltd, berkata, tapak berkenaan diperuntukkan untuk projek pembangunan kondominium eksekutif.

Gamuda berkata, ia akan membuat pengumuman lanjut mengenai tender berkenaan apabila menerima surat penerimaan daripada HDB kepada penender yang berjaya, iaitu Gamuda Singapore-Evia Joint Venture. – BERNAMA