Latih pakar terowong bertaraf dunia
18 Aug 2018 | Berita Harian
PENUBUHAN Akademi Latihan Terowong pertama di dunia pada 2011 oleh MMC Gamuda mampu mempersiapkan tenaga kerja tempatan dengan meningkatkan kemahiran.

KUALA LUMPUR: Pembangunan bawah tanah di Malaysia berkembang dengan lancar sejak bermulanya projek jaringan rel dalam bandar terbesar negara, Transit Aliran Massa Lembah Klang (KVMRT).

Pelaksanaan projek infrastruktur mega seumpamanya di kawasan berkepadatan tinggi serta keadaan geologi kars di Lembah Klang mempunyai cabaran tersendiri.

Namun, MMC Gamuda berjaya mengatasi cabaran ini, malah menguasai teknologi pembinaan terowong yang mendatangkan banyak faedah.

Menerusi pengalaman pembinaan jajaran pertama MRT, perancangan khusus dibuat bagi melengkapkan tenaga kerja tempatan dengan pengetahuan serta kemahiran pembinaan terowong bagi mengurangkan kebergantungan negara dengan pakar asing, selain menambah nilai kepada inisiatif Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) negara.

Sehubungan itu, MMC Gamuda berjaya menubuhkan Akademi Latihan Terowong (TTA) yang pertama di dunia pada 2011 di mana latihan bertumpu pada pengoperasian dan baik pulih Mesin Pengorek Terowong Pelbagai Ketumpatan (VD TBM) yang dibina secara bersama oleh pakar Gamuda dan pembekalnya iaitu Herrenkhnect yang berpangkalan di Jerman.

TTA mempersiapkan tenaga kerja tempatan dengan meningkatkan kemahiran mereka berhubung kepakaran berkaitan terowong yang juga satu bidang dengan permintaan tinggi di dunia, menerusi kerjasama syarikat kejuruteraan terkemuka di Jerman, seperti Siemens dan Bosch.
Pengarah Urusan Gamuda Engineering, Datuk Ubull Din Om, berkata Gamuda melihat kepentingan melatih dan mengambil kakitangan daripada semua peringkat kerana ia menyumbang kepada kemajuan syarikat.

“Semasa membina infrastruktur penting di Malaysia, adalah penting untuk kita mempersiapkan pusat latihan yang sesuai bagi melahirkan tenaga pakar berterusan dalam bidang tertentu.

“Kerjasama dengan nama besar seperti Siemens dan Bosch menunjukkan komitmen kami bagi memastikan hanya yang terbaik ditugaskan dalam pelaksanaan projek pembinaan terowong.

“Ini juga menghasilkan perpindahan teknologi dan maklumat yang bernilai bagi mengekalkan pertumbuhan Malaysia,” katanya.

Sebagai contoh, TTA bekerjasama dengan Siemens bagi menghasilkan modul Programmable Logic Controllers (PLC) bagi juruelektrik terowong.

Penguasaan modul PLC amat penting dalam mengawal ‘akal’ TBM dan juruelektrik terowong akan lebih bersedia dan memahami keseluruhan mekanisme kawalan VD TBM.

Ubull berkata, bahagian elektrik VD TBM terhasil menerusi gabungan pelbagai jenis teknologi Jerman.

“Dengan menguasai ‘akalnya’, juruelektrik terbabit akan memahami aktiviti mesin itu dan apa yang dapat dilakukan untuk mengawalnya.

“Juruelektrik juga didedahkan kepada kod universal bagi membolehkan mereka melaksanakan rutin baik pulih dan menyelesaikan masalah apabila perlu,” katanya.

TTA turut melabur dalam fasiliti latihan Bosch, khususnya sistem hidraulik elektro VD TBM, bagi melatih mekanik terowong mengenai komponen mekanikal dan hidraulik TBM.
Menurut Pengarah Urusan Bosch Rexroth Sdn Bhd, Michel Gunawan, kolaborasi itu membantu pelatih TTA meningkatkan pengetahuan teknikal mereka mengenai operasi hidraulik, mekanikal dan elektrikal.

“Peralatan latihan kami berdasarkan komponen standard industri yang menjamin operasi yang selamat untuk pelatih.

“Pada penghujung kursus, semua pelatih akan menerima sijil yang diterima pakai di seluruh dunia,” katanya.

Berhubung penggunaan modul Siemens dan Bosch, Ubull berkata, modul berkenaan diperkenalkan memandangkan wujud keperluan melatih juruelektrik dan mekanik untuk operasi dan baik pulih TBM.

“Kami berjaya mengurang atau mengawal tempoh baik pulih sekiranya semua mekanik terowong biasa dengan sistem mekanikal dan hidraulik yang digunakan,” katanya.

Rekod pembinaan terowong oleh Gamuda yang berjaya termasuklah terowong dwifungsi pertama di dunia, Terowong Jalan dan Pengurusan Air Banjir (SMART), terowong Penchala Link, MRT Kaohsiung Metropolitan di Taiwan dan jajaran pertama MRT.

Ketika ini, syarikat itu sedang menjayakan pembinaan MRT jajaran kedua yang bakal menghubungkan Lembah Klang dengan pusat pentadbiran kerajaan di Putrajaya.

Projek itu bukan saja memberi kelebihan kompetitif kepada belia tempatan dalam industri binaan, malah meningkatkan standard TVET di negara ini dengan menjadikan sebaris pengkhususan lain di dunia. Ia juga selari dengan perancangan kerajaan untuk meningkatkan tahap TVET.

TTA turut bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), selain menerajui institusi TVET lain seperti Institut Latihan Perindustrian dan Akademi Binaan Malaysia dalam melatih graduan terbaik untuk pelbagai posisi seperti kru terowong, pembantu operator TBM, juruelektrik, mekanik dan operator erektor.
Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia KBS, Dr Wasitah Mohd Yusof, berkata latihan disediakan TTA mentransformasikan latihan teori dan praktikal konvensional bagi graduan Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS).

Katanya, sehingga kini ramai graduan ILKBS menyertai TTA dan ditempatkan di pelbagai tapak pembinaan MRT jajaran kedua.

“Kami menerima maklum balas positif mengenai kualiti latihan serta persekitaran kerja menggalakkan daripada graduan berkenaan.

“Latihan disediakan TTA bukan saja tersusun, malah silibus latihan juga menepati standard antarabangsa, selain turut menekankan aspek kebajikan pekerja serta perkembangan kerjaya.

“TTA memiliki fasiliti latihan berkelas dunia bagi projek pembinaan terowong di Malaysia. Dengan pendedahan seperti ini, graduan ILKBS bukan saja dapat mengembangkan kerjaya dalam negara, malah menjadi pakar di peringkat antarabangsa,” katanya.

Dalam beberapa tahun akan datang, TTA dijangka menjadi hab pusat teknologi dan pendidikan terowong.

Sejak ditubuhkan, TTA melahirkan 1,000 graduan dan akan menghasilkan 600 lagi sebelum berakhirnya projek MRT jajaran kedua pada 2022.