Projek MRT tingkat kepakaran PKS tempatan
19 Jun 2017 | Berita Harian

Pelaksanaan projek MRT bukan sahaja bagi memantapkan sistem pengangkutan awam di Lembah Klang, malah ia juga membantu mengukuhkan ekosistem syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam industri pembinaan di negara ini.

Projek mega itu menjadi platform terbaik kepada PKS tempatan mengasah dan menyediakan persiapan terbaik untuk menjadi syarikat yang berdaya saing dan mampu bersaing di arena antarabangsa.

Ia adalah penting untuk memastikan kesinambungan penyertaan tempatan daripada syarikat Malaysia dalam projek infrastruktur yang mana ia membolehkan PKS melabur dalam meningkatkan dan mempelbagaikan kemahiran dengan kemajuan dalam teknologi yang membabitkan peralatan dan automasi.

Tingkat produktiviti syarikat

Ia juga sejajar dengan Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) oleh Kementerian Kerja Raya untuk meningkatkan produktiviti industri di bawah inisiatif P6 -Memajukan kapasiti dan keupayaan PKS/Bumiputera.

Pengarah Urusan Gamuda Engineering, Datuk Ubull Din Om, berkata projek MRT adalah projek membabitkan pembinaan metro baharu di Malaysia.

Beliau berkata, MMC Gamuda Joint Venture Sdn Bhd, yang mana adalah kontraktor bawah tanah bagi projek pembinaan MRT Laluan 1 Sungai Buloh-Kajang (SBK) dan Laluan 2 Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) menganugerahkan kontrak kerja berkaitan bawah tanah dan terowong kepada PKS tempatan.

“Kira-kira 98 peratus kerja membuat terowong dilaksanakan oleh PKS tempatan sementara kerja khusus sahaja diberikan kepada syarikat asing seperti berkaitan pengilangan Mesin Pengorek Terowong (TBM), sistem sokongan TBM dan perundingan.

“Manfaat untuk syarikat tempatan sangat besar dari segi meningkatkan kemahiran mereka, teknologi, pengetahuan dan perniagaan serta pengembangan susulan nilai kontrak yang sangat tinggi bagi kerja bawah tanah projek MRT,” katanya ketika ditemui dalam satu temu bual di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Ubull berkata, bagi kerja bawah tanah untuk Laluan SBK, ia membabitkan kontrak bernilai lebih RM8.2 bilion, yang mana daripada jumlah itu RM4.8 bilion diberikan kepada 633 PKS.

“Kerja seperti bekalan tenaga, perkhidmatan penempatan semula dan melepa struktur dilakukan oleh PKS tempatan. Kami percaya dengan pengalaman dan kepakaran yang diperoleh ketika melaksanakan pembinaan Laluan SBK, maka kerja pembinaan Laluan SSP akan lebih baik lagi,” katanya.

Menyentuh mengenai cara PKS mempertingkatkan kemampuan mereka dalam melaksanakan pembinaan Laluan SBK, Ubull berkata, pihaknya menyediakan latihan yang secukupnya dan membimbing mereka mempertingkatkan kemampuan ke peringkat yang lebih tinggi.

Contohnya bagi segmen terowong, beliau berkata, ini kali pertama di Malaysia menggunakan gentian keluli konkrit bertetulang berbanding menggunakan bar keluli bagi pembinaan terowong dan ia dihasilkan oleh PKS tempatan.

“Di samping itu, pemindahan teknologi juga wujud menerusi penubuhan kilang membaikpulih TBM di Pusing dekat, Ipoh, Perak yang membantu meningkatkan kemahiran bakat tempatan dan meningkatkan prospek mereka meraih pendapatan lebih tinggi.

Ubull berkata, MMC Gamuda juga melatih bakat tempatan di Akademi Latihan Terowong, yang mengukuhkan kemampuan bakat tempatan dalam industri pembinaan.

Beliau berkata, kerja pembinaan terowong juga dilaksanakan secara dalam talian dan menggunakan teknologi Pemodelan Bangunan Bermaklumat (BIM) untuk kerja bawah tanah yang menggunakan teknologi tiga dimensi yang mampu meningkatkan produktiviti dalam pembinaan.

Latih bakat, tenaga tempatan

“PKS tempatan yang menerima kontrak bawah tanah dan kerja terowong juga dilatih menggunakan teknologi BIM yang mana ia peluang terbaik untuk mereka belajar menimba pengetahuan dan memantapkan kemampuan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Zumatex Engineering Sdn Bhd, Mayamas Omar, berkata syarikatnya berupaya untuk meningkatkan rantaian nilainya dengan melaksanakan projek MRT.

Beliau berkata, syarikatnya melabur RM10 juta dalam peralatan bagi kerja penempatan semula gas bagi Laluan SBK.

Bagi Worktime Engineering Sdn Bhd pula, Pengarahnya, Affendy Arifin, berkata penyertaan dalam projek pengangkutan awam seperti MRT membawa inovasi dan kemajuan kepada PKS.

Beliau berkata, dengan kontrak yang diperoleh membolehkan syarikatnya meningkatkan teknologi dan pengetahuan yang secara langsung mendorongnya ke hadapan dalam persaingan jangka masa panjang.

Pengarah Fastpro Sdn Bhd, Elmi Shamsul Saman, berkata pengetahuan, kemahiran dan kemajuan yang dijana syarikatnya menerusi projek MRT, membantunya menaikkan taraf untuk menepati keperluan tinggi yang ditetapkan dalam Laluan SBK dan Laluan SSP.

Fastpro yakin akan memperoleh lebih banyak perniagaan apabila ia berjaya memberikan perkhidmatan yang sama untuk Laluan SSP, katanya.

Fastpro dianugerahkan kontrak penempatan semula gentian optik untuk Maluri dan kerja peletakan kabel bekalan kuasa untuk operasi terowong dari Conlay ke Hospital Kuala Lumpur dalam Laluan SSP berjumlah RM6 juta.

Pengarah Huls Transmission Sdn Bhd, Asmalina Mohd Napiah, berkata syarikatnya gembira untuk menjadi sebahagian daripada projek infrastruktur mega seperti MRT.

“Bermula dengan menempatkan semula kabel bekalan kuasa di Maluri bagi Laluan SBK dan kini di KLCC Timur dalam Laluan SSP yang membabitkan kontrak bernilai RM8 juta, kami dapat mengembangkan set kemahiran dan teknologi kami,” katanya.